RSS

Ketupat Sotong Marang Terengganu


Pernah makan ketupat? Pernah makan ketupat sotong? Nyum-nyum sedap. Serius sedap. Ini dia resepi untuk membuat ketupat sotong seperti biasa dengan cara ringkas dan segera KongsiMyResepi. 

Oh ya, resepi ini untuk 2 ekor sotong saiz sederhana besar. Di Kuala Lumpur ini mana nak dapat sotong saiz gergasi macam di Marang tu. Kalau nak makan sotong gergasi, jemput  melawat Marang, Terengganu masa musim candat sotong.


Sediakan bahan-bahan ini:
- 2 lidi satay dipotong pendek
- 1 batang serai
- 1 halia saiz ibu jari
- 1 bawang besar
- halba


Beli 2 sotong saiz sederhana besar. Kalau pergi ke pasar basah boleh dapat yang segar tapi kena kerat leher harga mahal. Jadi kalau nak cari sotong  murah boleh beli di Mydin Mall, Tesco atau Giant bila ada harga promosi dan sotong cantik macam dalam gambar.

Kalau beruntung dalam perut sotong ada telur sotong. Itu yang beri kuah ketupat sotong kita lagi umph! 


Seperti biasa, kerana ini resepi ekspres, kita guna santan segera sahaja. Nak beli yang serbuk atau santan kelapa sawit pun boleh. Kalau beli  kelapa parut dan perah santan lagi sedap. Terpulanglah.


Untuk meringkaskan kerja dan memastikan resepi ini menjadi untuk anda yang baru nak belajar, saya sarankan anda buat cara ringkas ini. Masak pulut dahulu.

Masak dahulu beras pulut dalam 1 cawan kecil dengan 1 cawan suku air. Boleh masak guna periuk elektrik sahaja, senang dan tidak berkerak.

Jangan risau pasti ada pulut lebih ni, lebih daripada cukup.


Bersihkan sotong dan asingkan kepala sotong serta telur sotong jika ada. Jangan buang kulit sotong, ini yang menjadikkan sotong manis.

Sumbatkan pulut yang sudah dimasak tadi kedalam sotong dengan padat dan cucukkan lidi atas sotong supaya pulut tidak terkeluar. 

Sila buat kerja dengan berhati-hati, anda tidak mahu sotong hancur.


Bila sudah siap cucuk, ini dia rupa sotong yang sudah siap disumbat dengan pulut.


Sekarang masa untuk memasak sotong kita. Hiriskan bawang dan ketuk serai dan halia. 

Masukkan kesemua bahan termasuk halba ke dalam periuk saiz sederhana.


Masukkan 3/4 santan dalam periuk tadi. Jika anda suka kuah pekat, boleh masukkan 1 kotak penuh. Tetapi bagi saya, 3/4 sudah cukup cantik pekat kuahnya bila sudah masak.

Selepas itu masukkan 2 ekor ketupat sotong tadi dengan kepala sotong dan telur sotong jika ada.

Letakkan periuk atas dapur dan masak dengan api sederhana besar. Masukkan garam secubit atau secukup rasa.

Masak dalam 15-20 minit sahaja atas dapur. Yang penting jangan masak sampai pecah minyak.


Apabila ketupat sotong anda sudah masak, begini rupanya. Maaf, seekor ketupat sotong dah kena culik. Ada orang tak sabar nak makan kerana bau harum semerbak satu rumah, kerana rempah halba tadi.


Resepi ini sungguh sesuai dibuat juadah berbuka puasa dalam bulan Ramadhan sekarang ini. Jangan risau, pasti kenyang kerana pulut yang lebih tadi boleh masukkan dalam kuah kita tadi, makan sekali. Jangan lupa ceduk kepala sotong dan telur sotong. Sila jemput makan, sedap.

Terima kasih kerana membaca dan jangan lupa kongsikan resepi ini ya.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Air Minuman Calpis Homemade Ringkas Tapi Sedap


Mencari resepi membuat air Calpis atau air Milkis sendiri dirumah. Resepi homemade Calpis ini adalah yang paling ringkas dan paling sedap anda boleh buat. Saya penggemar resepi ekspres atau segera. Tidak sampai 1 minit boleh siap air minuman Calpis ini.

Air minuman ini adalah sangat sesuai untuk:

  • - menghilangkan dahaga
  • - menyegarkan badan
  • - mengembalikan tenaga
  • - sistem penghadaman

Jadi minuman ini sangat sesuai dibuat untuk berbuka puasa. Nanti masa rumah terbuka Hari Raya pun boleh hidangkan air Calpis homemade ini. Saya pasti pegunjung ke rumah anda akan tertanya-tanya air apakah ini?

Air minuman Calpis ini unik kerana jarang dibuat orang Malaysia,  jadi anda boleh  jadikan ia satu topik berbual dan berkongsi resepi. Setengah orang ini kedekut resepi, kalau kita beri resepi kita, baru dia beritahu rahsia resepi dia. Macam-macam ragam manusia.

Apa itu Calpis atau Milkis?



Minuman Calpis ini sangat popular di negara Jepun. Siapa pernah pergi Jepun untuk melancong atau belajar pasti tahu mengenai minuman paling popular di Jepun ini. Minuman ini bagaikan coka cola untuk orang Amerika atau air sirap untuk orang melayu kita.


Kalau anda penggemar KDrama atau pernah pergi ke Korea untuk melancong atau belajar, anda juga akan tahu mengenai air minuman Milkis ini. Milkis ini adalah soda susu atau "milk soda". Cuma ia tidak sepopular air Pocari Sweat di Korea.

Resepi Homemade Calpis/Milkis


Anda cuma perlu pergi  ke pasaraya dan beli:
  • 1. ais krim soda F&N
  • 2. minuman susu kultur 

 

Air ais krim soda diperlukan untuk rasa perisa vanilla dan soda. Jenama pilihan adalah F&N kerana ia adalah adalah rasa vanila yang terbaik.

Walaupun harga F&N mahal sikit, tetapi ia amat berbaloi. Harga di Mydin Mall tadi cuma RM2.65 sahaja untuk botol 1.5L.

Kalau ada jumpa ais krim soda yang lagi murah, dipersilakan cuba. Rasa mungkin tidak sama, tetapi selera masing-masing.
Minuman susu kultur sangat sesuai untuk penghadaman perut. Jika anda amalkan minum susu kultur,anda akan dapati lagi senang untuk anda ke tandas. Selepas itu badan menjadi lebih ringan dan segar.

Nak beli yang mana  satu? Ada banyak sangat jenama di pasaran sekarang ini. Ini terpulang. Kalau anda nak beli Yakult, Vitagen, Nutrigen atau Solivite itu terpulang.

Boleh beli ikut kemampuan atau citarasa sendiri. Bagi saya untuk susu kultur ini saya akan pilih yang termurah, kalau boleh beli masa ada promosi harga. Memang untung.Yang penting  anda tidak beli yang berperisa. Ambil yang natural dahulu. Natural yang mana satu? Yang warna putih.

Kenapa? Itulah perasa original Calpis atau Milkis. Jika anda sudah biasa buat resepi istimewa ini, kemudian hari boleh bancuh dan buat ikut perasa kegemaran samada anggur, strawberi, oren atau epal.

 

 

Cara Buat


1. Cari satu jag yang boleh memuatkan air 1.5L.

2. Masukkan ais ketul mengikut citarasa. Minuman ini lagi sedap jika sejuk.

3. Buka dua botol susu kultur dan masukkan dalam jag.

4. Selepas itu sila masukkan seluruh botol 1.5L ais krim soda tadi.

5. Gaulkan sehingga sebati.

6. Hidangkan semasa sejuk. Kalau boleh minum sebelum ais cair.

Kalau kurang manis, boleh tambah air gula secukup rasa. Tetapi ingat kempen kerajaan supaya kurangkan pengambilan gula untuk kesihatan kita.

Jom kita ganti berbuka puasa dengan air sirap kepada minum air Calpis tahun ini. Minuman air Calpis yang sedap dan sihat.

Terima kasih kerana baca dan anda dijemput untuk kongsikan resepi ini menggunakan butang media sosial di bawah atau secara mulut. Resepi air Calpis homemade ini senang sangat untuk ingat dan cuba, menyesal jika tidak cuba.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Makaroni Sup Tomato Istimewa


Pernah makan makaroni goreng? Apa kata anda cuba resepi istimewa makaroni sup kegemaran anak saya ini. Resepi ini saya reka sendiri sahaja berdasarkan sedap mulut yang memakan. Bahan-bahan dia kalau tidak cukup semua pun masih sedap.

Kalau ada kobis bunga, boleh potong kecil campur sekali untuk buat tambah sayuran. Kalau nak guna ayam dan daging kisar pun boleh. Kalau nak buat tanpa ayam dan daging pun boleh, tetapi kena letak seketul stok ayam, baru naik rasa.

Kalau nak pedas lebih, lebihkan cili boh. Kalau nak masam sikit, lebihkan tomato puree. Kalau tidak ada tomato puree dan tomato sos, boleh guna sos sphegetti prego, tetapi cairkan sedikit kuah tu dengan lebihkan air.

Kalau beli rempah italian herbs mckormick memang mahal. Saya cadangkan anda beli rempah bungkus daun origano, daun parsli dan thyme. Bukan dalam bentuk serbuk tetapi daun yang dipotong halus. Lebih jimat cara ni. Anda cuma perlu ada bekas untuk simpan campuran rempah ini. Jika ada botol bekas Mckormick yang lama tu, boleh simpan campuran rempah dalam botol tu. Apa nak buat jika tiada rempah ratus Itali ni di rumah? Tidak ada masalah, boleh masukkan rempah sup biasa satu cubit.

Sup ini sangat sesuai dimakan pada waktu malam dan waktu cuaca sejuk. Kalau orang demam selsema makan ni sesuai kerana deria rasa dan selera makan sudah kurang. Bila rasa masam tu baru naik selera.

Makaroni Sup Tomato


Sediakan bahan-bahan berikut:

Makaroni sebungkus
Ayam setengah ekor
1 biji bawang kuning besar
1 biji bawang merah
1 biji bawang putih
Italian Herbs Mckormick atau
Rempah campuran origano, parsli dan thyme
2 biji tomato
1 biji lobak merah
1/2 biji capsicum
1 batang daun salari
Tomato sos magee
Tomato puree


Makaroni


Cara masak:

  1. Jerang air dalam periuk
  2. Masukkan garam secubit dan sedikit minyak supaya tidak melekat
  3. Tunggu sehingga air mendidih
  4. Masukkan makaroni sebungkus
  5. Tunggu 3 hingga 5 minit
  6. Angkat makaroni apabila sudah cukup lembut
  7. Toskan

Tomato Sup


Cara masak:

  1. Potong ayam kecil-kecil, tidak perlu kisar
  2. Potong dadu tomato, lobak merah, daum salari dan capcicum
  3. Kisarkan bawang kuning, bawang merah dan bawang putih
  4. Panaskan minyak dalam periuk
  5. Tumis bawang sehingga kuning
  6. Masukkan rempah campuran italian herbs
  7. Masukkan cili boh jika anda suka pedas
  8. Masukkan ayam dan gaulkan sekali sekala supaya masak sama rata. 
  9. Biarkan ayam sehingga masak dalam masa 10-15 minit
  10. Masukkan setengah botol sos magee
  11. Masukkan 3-4 sudu besar tomato puree jika anda suka sup pekat dan masam sedikit
  12. Apabila campuran sudah sebati dan wangi, boleh masukkan air sehingga penuh periuk
  13. Apabila sup sudah mendidih boleh masukkan sayuran yang sudah dipotong dadu
  14. Tunggu sehingga 10-15 minit sehingga sayuran masak dan lembut
  15. Masukkan garam dan gula secukup rasa


Hidangan


Ingat, jangan campurkan makaroni dalam sup. Kembang nanti tak sedap. Cuma campurkan apabila hendak makan. Boleh taburkan serbuk keju jika ada. Yang penting makaroni sup mesti dihidangkan masa panas, baru sedap menjamu selera.

Selamat mencuba!
  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Nasi Ayam Segera Istimewa


Apa dia hidangan kegemaran orang ramai? Nasi ayam. Samada nasi ayam biasa di pasar malam ataupun nasi ayam hainan di restoran cina muslim. Kalau pergi ke restoran lambat sikit dan lauk pauk habis, boleh cari nasi ayam. Kalaupun ayam sejuk, nasi dan sup ayam masih panas. Sangat bagus.

Nasi ayam itu tidak akan menjadi tanpa nasi, ayam, sup, sos lada dan sos kicap serta sayur.

Memang ramai penggemar nasi ayam yang cuba resepi nasi ayam saya ni akan tertanya-tanya kenapa nasi ayam ni sedap sangat. Haaa... ada ramuan rahsia tu. Jom cuba buat, gerenti anda akan masak setiap minggu. Nak masak cukup ringkas tetapi makan cukup puas hati. Anak-anak pun suka. Apa ramuan istimewa tu?

Bebola ayamas. Cuba cari kat Tesco, Giant atau Kedai Ayamas sendiri. Sila lihat gambar di sebelah kanan tu. Ramuan istimewa ini mesti simpan dalam peti ais. Kira dia sama penting macam fish ball dan fish cake dah sekarang ni.


Bahan Nasi Ayam


Sediakan bahan-bahan berikut:

3 pot beras jenama sunflower
1 biji bawang putih
1/2 inci halia
3 sudu besar majerin
8 biji bebola ayamas

Cara masak:
  • Basuh beras bersih-bersih, toskan dan asingkan
  • Tumbuk bawang putih bersama halia hingga halus
  • Hiris halus-halus bebola ayamas
  • Panaskan periuk rice cooker atas dapur
  • Tumis bawang putih dan halia dengan majerin sehingga wangi
  • Lepas tu masukkan hirisan bebola ayamas
  • Gaul rata dan masukkan beras
  • Bila dah cukup rata dan wangi terus masukkan air 3-4 pot
  • Masukkan garam secukup rasa
  • Jangan gaul beras banyak-banyak takut pecah
  • Buka api besar dan tunggu sehingga kering
  • Pindahkan periuk ke dalam rice cooker dan masak seperti biasa

 

Bahan Sup Ayam


Sediakan bahan-bahan berikut:

4 biji bebola ayamas
1 kiub ayam
2 biji bawang merah
2 biji bawang  putih
1/2/ inci halia
Kayu manis
Bunga lawang
Bunga cengkih
Daun sup dan bawang
Bawang goreng

Cara masak:
  1. Tumbuk atau blend bawang putih, bawang merah dan halia
  2. Hiris halus-halus bebola ayamas
  3. Tumis bawang dan halia dalam periuk dengan minyak masak
  4. Masukkan bunga lawang, kayu manis dan bunga cengkih
  5. Kalau tiada rempah ratus tersebut,  boleh guna sup bunjut sahaja
  6. Bila dah wangi masukkan pula hirisan bebola ayamas
  7. Masukkan air penuh satu periuk
  8. Tunggu sehingga didih dan masukkan 1 kiub ayam
  9. Kalau nak masukkan kaki dan leher ayam pun boleh
  10. Masukkan garam secukup rasa
  11. Bila nak makan boleh taburkan daun sup dan bawang serta bawang goreng

 

Ayam


Sediakan bahan-bahan berikut:

Ayam seekor di potong ikut suka
1 biji bawang putih
Sos tiram
Kicap cair
Kicap manis
Madu
Minyak bijan

Cara masak:
  1. Jangan lupa kerat atau hiris ayam di bahagian dada, betis dan peha
  2. Tumbuk bawang putih dan gaulkan dengan ayam
  3. Masukkan semua jenis sos, satu sudu  kecil madu dan 3-4 titis minyak bijan
  4. Perapkan ayam semalaman dalam peti sejuk, pastikan bekas ayam tertutup kalau tak kering
  5. Panaskan minyak dan goreng ayam

 

Bahan Sos Lada


Sediakan bahan-bahan berikut:

4-5 biji cili merah hidup
1-2 biji bawang putih
1/2 sudu kecil cuka
2 sudu besar sos cili
Gula dan garam secukup rasa

Cara masak:
  1. Tumbuk atau blend cili dan bawang
  2. Tumis dalam periuk atau kual
  3. Tambahkan air ikut kepekatan sos lada yang anda mahu
  4. Tambah sos cili serta cuka

 

Bahan Sos Kicap

 

Yang ni paling senang sekali. Sila gunakan baki sos perapan ayam dan gaulkan dengan sup ayam. Kalau sos kicap nampak sedikit cair,  boleh tambah kicap manis ikut suka.

 

Sayur

 

Tak sesuai rasa makan nasi ayam tanpa sayur. Boleh potong timun, tomato serta salad daun ikut suka  hati.

Hidangan


Akhir sekali hiaskan seperti  gambar di atas. Baru datang selera bila nak jamu orang makan. Kepada anda yang sibuk dan tidak sempat nak masak seperti untuk berbuka puasa. Boleh masak nasi sahaja dan beli ayam golek atau ayamas untuk di makan bersama nasi ayam istimewa ini.

Selamat mencuba!

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS