RSS

Ketupat Sotong Marang Terengganu


Pernah makan ketupat? Pernah makan ketupat sotong? Nyum-nyum sedap. Serius sedap. Ini dia resepi untuk membuat ketupat sotong seperti biasa dengan cara ringkas dan segera KongsiMyResepi. 

Oh ya, resepi ini untuk 2 ekor sotong saiz sederhana besar. Di Kuala Lumpur ini mana nak dapat sotong saiz gergasi macam di Marang tu. Kalau nak makan sotong gergasi, jemput  melawat Marang, Terengganu masa musim candat sotong.


Sediakan bahan-bahan ini:
- 2 lidi satay dipotong pendek
- 1 batang serai
- 1 halia saiz ibu jari
- 1 bawang besar
- halba


Beli 2 sotong saiz sederhana besar. Kalau pergi ke pasar basah boleh dapat yang segar tapi kena kerat leher harga mahal. Jadi kalau nak cari sotong  murah boleh beli di Mydin Mall, Tesco atau Giant bila ada harga promosi dan sotong cantik macam dalam gambar.

Kalau beruntung dalam perut sotong ada telur sotong. Itu yang beri kuah ketupat sotong kita lagi umph! 


Seperti biasa, kerana ini resepi ekspres, kita guna santan segera sahaja. Nak beli yang serbuk atau santan kelapa sawit pun boleh. Kalau beli  kelapa parut dan perah santan lagi sedap. Terpulanglah.


Untuk meringkaskan kerja dan memastikan resepi ini menjadi untuk anda yang baru nak belajar, saya sarankan anda buat cara ringkas ini. Masak pulut dahulu.

Masak dahulu beras pulut dalam 1 cawan kecil dengan 1 cawan suku air. Boleh masak guna periuk elektrik sahaja, senang dan tidak berkerak.

Jangan risau pasti ada pulut lebih ni, lebih daripada cukup.


Bersihkan sotong dan asingkan kepala sotong serta telur sotong jika ada. Jangan buang kulit sotong, ini yang menjadikkan sotong manis.

Sumbatkan pulut yang sudah dimasak tadi kedalam sotong dengan padat dan cucukkan lidi atas sotong supaya pulut tidak terkeluar. 

Sila buat kerja dengan berhati-hati, anda tidak mahu sotong hancur.


Bila sudah siap cucuk, ini dia rupa sotong yang sudah siap disumbat dengan pulut.


Sekarang masa untuk memasak sotong kita. Hiriskan bawang dan ketuk serai dan halia. 

Masukkan kesemua bahan termasuk halba ke dalam periuk saiz sederhana.


Masukkan 3/4 santan dalam periuk tadi. Jika anda suka kuah pekat, boleh masukkan 1 kotak penuh. Tetapi bagi saya, 3/4 sudah cukup cantik pekat kuahnya bila sudah masak.

Selepas itu masukkan 2 ekor ketupat sotong tadi dengan kepala sotong dan telur sotong jika ada.

Letakkan periuk atas dapur dan masak dengan api sederhana besar. Masukkan garam secubit atau secukup rasa.

Masak dalam 15-20 minit sahaja atas dapur. Yang penting jangan masak sampai pecah minyak.


Apabila ketupat sotong anda sudah masak, begini rupanya. Maaf, seekor ketupat sotong dah kena culik. Ada orang tak sabar nak makan kerana bau harum semerbak satu rumah, kerana rempah halba tadi.


Resepi ini sungguh sesuai dibuat juadah berbuka puasa dalam bulan Ramadhan sekarang ini. Jangan risau, pasti kenyang kerana pulut yang lebih tadi boleh masukkan dalam kuah kita tadi, makan sekali. Jangan lupa ceduk kepala sotong dan telur sotong. Sila jemput makan, sedap.

Terima kasih kerana membaca dan jangan lupa kongsikan resepi ini ya.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS